BERFIKIR LATERAL
Adalah berpikir di luar pola-pola
yang sudah umum atau berpikir di luar pendekatan “biasanya”. Mampu berpikir
lateral, artinya mampu melihat masalah tidak dengan perspektif “biasanya”
sehingga mencari solusi pun “di luar kebiasaan”, tidak mengikuti metode
konvensional melainkan mengembangkan cara-cara baru yang tidak pernah
terpikirkan orang lain, Orang sering mengistilahkan kemampuan berpikir lateral
ini dengan istilah kreatif.
Dari segi definisi pemikiran lateral
membawa maksud cara menyelesaikan masalah dengan menggunakan daya imaginasi
(bukan dengan menggunakan logik atau cara-cara pemikiran yang biasa) sehingga
dapat menghasilkan pelbagai pendekatan yang kelihatan luar biasa (kadang-kadang
agak luar biasa sedikit) tetapi amat berkesan.
Orang-orang yang bisa berpikir
lateral sangat menikmati kebebasan berpikir, tidak suka disekat-sekat oleh pola
yang kaku, kebiasaan, dsb. Tapi bukan
berarti tidak punya batasan, karena di saat yang sama, otak akan memprediksi hasil atau proses
selanjutnya. Kemampuan berpikir lateral ini sangat di tunjang oleh kekuatan
imajinasi dan inspirasi kita. Kalau cara berpikir kita selama ini terlalu kaku
dan konservatif, tentu sulit melihat kemungkinan dan realita lain yang ada di
hadapan kita. Itulah sebabnya, orang yang kemampuan berpikir lateralnya bagus,
mudah memahami konsep yang bersifat multidimensi dan melahirkan karya
innovative.
Banyak sekali manfaatnya kalau kita
bisa berpikir lateral. Salah satunya, orang-orang kreatif tidak mudah pesimis
dan stress karena melihat satu masalah dari berbagai sudut pandang. Mereka tahu
ada banyak alternatif solusi sekaligus peluang di dalam tiap masalah, sehingga
mereka menganggap masalah adalah sebuah tantangan dari pada kendala.
Orang-orang yang bisa melahirkan inovasi baru adalah mereka yang bisa berpikir
lateral.
PEMIKIRAN LATERAL, KRITIS, KREATIF, REFLEKTIF
Konsep kemahiran berfikir ialah sesuatu proses yang
dialami dan sesuatu jenis kebolehan atau kemahiran. Pemikiran merupakan proses
menyusun, mempergunakan maklumat dan pengetahuan menggunakan akal untuk
menyelesaikan sesuatu masalah. Menurut pendapat Edward De Bono (1976),
pemikiran merupakan kemahiran yang berkaitan dengan pemikiran lateral. Ianya
membolehkan manusia melihat pelbagai perspektif untuk menyelesaikan masalah
dalam sesuatu situasi tertentu. Sementara itu, menurut pandangan Islam,
berfikir ialah fungsi akal yang memerhatikan tenaga supaya otak manusia dapat
bekerja dan beroperasi. Kesimpulannya, definisi pemikiran ialah sesuatu proses
menggunakan minda untuk mencari makna dan penyelesaian terhadap sesuatu
keraguan atau masalah yang timbul. Permasalahan ini diselesaikan dengan
pelbagai cara, membuat pertimbangan dan keputusan serta refleksi yang logikal
dan munasabah terhadap proses yang dialami oleh seseorang.
Gaya berfikir banyak menentukan sesuatu keputusan
dan tindakan seseorang terhadap sesuatu perkara atau penyelesaian masalah.
Manusia mempunyai gaya berfikir yang berbeza-beza. Terdapat beberapa jenis
pemikiran yang akan saya bincangkan bagi membezakan pemikiran seseorang
individu. Antaranya ialah Pemikiran Lateral, Pemikiran Kritis, Pemikiran
Kreatif, dan Pemikiran Reflektif.
PEMIKIRAN LATERAL
PEMIKIRAN LATERAL
Pemikiran Lateral ialah
satu cara penyelesaian masalah yang menggunakan daya imaginasi dan bukan secara
logik atau tradisional. Pemikiran Lateral ini diasaskan oleh Dr. Edward De Bono
yang merupakan seorang pakar dalam bidang perubatan dan
pemikiran. Beliau memperkenalkan corak berfikir lateral setelah mendapati
terdapat banyak halangan pada corak pemikiran konvensional. Pemikiran ini bukan
bertujuan menyingkirkan corak pemikiran yang sedia ada tetapi ianya adalah
untuk mencari jalan terpantas dan lebih berkesan untuk menyelesaikan masalah
yang menepati kriteria yang dikehendaki. Pemikiran Dr De Bono telah
dirumuskan oleh Ainon Mohd dan Abdullah, dalam kata-kata di bawah:
“ Kita tidak akan dapat menggali lubang-lubang baru di tempat-tempat lain
kalau kita asyik menggali lubang yang ada supaya lebih dalam lagi” (Ainon Mohd
& Abdullah Hassan, 1996).
Terdapat beberapa faktor penting yang diambil kira dalam pemikiran lateral. Antaranya ialah mengenalpasti idea-idea dominan utama dalam masalah yang dihadapi. Kedua, melihat sesuatu masalah daripada sudut-sudut yang berlainan, ketiga melonggarkan cara-cara pemikiran yang terkawal, dan keempat menggunakan idea-idea yang diberikan oleh orang dalam membuat penyelesaian masalah.
Dr. De Bono juga memperkenalkan teori lima prinsip
Revolusi Positif yang digunakan untuk mengatasi sifat-sifat negatif berdasarkan
konsep lima jari tangan manusia iaitu; Ibu jari melambangkan
keberkesanan (Effectiveness), Jari telunjuk melambangkan sikap membina
(Constructive), Jari tengah melambangkan sikap menghormati (respect), Jari
manis melambangkan pembaikan diri (self-Improvement), dan Jari kelingking
melambangkan sumbangan (contribution).
Sementara itu, terdapat lima teknik pemikiran yang
digunakan dalam pemikiran lateral. Antaranya ialah teknik perkaitan bebas,
teknik “reversal”, kaedah cabaran, dan menganalisa masalah. Teknik perkaitan
bebas biasanya berlaku dalam proses sumbangsaran. Contohnya, semasa pengajaran
dan pembelajaran (P&P), guru boleh membincangkan satu topik perbincangan
berkaitan isu semasa. Murid-murid bebas menghasilkan idea atau pandangan semasa
aktiviti ini dijalankan malah murid-murid juga bebas menghasilkan
idea-idea. Namun begitu, idea-idea dan pandangan murid-murid ini perlu
direkodkan atau dicatatkan sebelum mengemukakan pendirian tentang keputusan
bagi sesuatu permasalahan yang dibincangkan kepada guru. Sementara keputusan
yang dihasilkan adalah keputusan bersama. Teknik pemikiran lateral yang
digunakan dalam bilik darjah ini dapat menggalakkan proses pemikiran kreatif
dan meningkatkan kemahiran kognitif murid-murid.
Seterusnya, kaedah “reversal” iaitu kaedah yang
digunakan untuk menilai sesuatu keadaan yang biasa secara terbalik. Teknik
pemikiran yang digunakan ini membolehkan murid tidak perlu mencari jawapan yang
betul tetapi penyusunan maklumat akan menggalakkan murid-murid melihat
cara-cara yang berbeza untuk menilai sesuatu situasi atau menyelesaikan
masalah.
Selain itu, kaedah objek fokal juga digunakan dalam
penyelesaian sesuatu masalah. Kaedah ini membolehkan murid memilih sesuatu
objek secara rawak dan mengaitkan objek tersebut dengan masalah yang dikaji.
Penggunaan strategi pemusatan bahan membolehkan murid memahami pelajaran dengan
lebih bermakna apabila dapat mengaitkan bahan yang disediakan oleh guru untuk
menyelesaikan sesuatu perkara.
Teknik seterusnya ialah menggunakan kaedah cabaran.
Dalam membuat penyelesaian masalah, murid boleh mencabar cara-cara atau sesuatu
perkara yang dilakukan menggunakan cara atau keadaan sedia ada. Ianya bermaksud
pemikiran murid tidak terhad kepada pemikiran yang sedia ada tetapi
berfikir secara luar kotak. Murid perlu berfikiran terbuka dan
berfikir secara positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah.
Seterusnya ialah menganalisa masalah. Proses
pemikiran yang dilakukan adalah dengan cara memecahkan masalah kepada bahagian
yang lebih kecil. Dalam penyelesaian sesuatu masalah, seseorang murid dapat
menyusun semula situasi masalah menggunakan cara penyelesaian masalah yang baru
dan berbeza antara seorang individu dengan individu yang lain.
Sementara itu, guru juga berperanan dalam merangsang
kepelbagaian pemikiran murid. Ianya bertujuan untuk menggalakkan proses
pemikiran kreatif dalam kalangan murid. Selain itu, guru perlu menggalakkan
murid menyelesaikan masalah melalui pelbagai perspektif dengan cara memecahkan
sesuatu masalah kepada bahagian yang lebih kecil untuk penyelesaian yang unik
dan berbeza. Antara kaedah yang boleh digunakan ialah menyediakan senarai rujuk
sesuatu masalah, permainan dan latihan, kaedah metafor dan analogi.
Dr. Edward De Bono telah menyediakan beberapa garis
panduan dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Murid dan
guru boleh mengunakan garis panduan ini semasa P&P dalam bilik darjah.
Antaranya ialah sentiasa bersikap positif dan konstruktif, berfikir secara
perlahan-lahan dan secara mudah serta jangan memudahkan sesuatu perkara. Selain
itu, murid dan guru juga perlu melupakan ego, jangan biarkan ego bercampur aduk
semasa berfikir, menentukan tujuan berfikir, menukarkan
pemikiran otak untuk berfikir secara logik dan pemikiran
kreatif, menentukan hasil yang hendak dicapai. Seterusnya ialah sentiasa
fikirkan alternatif yang lain, memberi tempat kepada perasaan, menukar ganti
pemikiran secara luas dan terperinci, membezakan perkara yang sepatutnya dengan
yang mungkin, mengambil kira pendapat orang lain, dan melibatkan nilai dalam
semua jenis tindakan yang hendak diambil dalam membuat sesuatu keputusan.
Kesimpulannya, terdapat banyak alat berfikir dalam
menyelesaikan permasalahan dengan cekap dan berkesan. Dr. Edward De Bono telah
memperkenalkan “CoRT Cognitive Research Trust”. Ianya merupakan satu teknik
alat berfikir yang boleh digunakan dalam membuat keputusan menyelesaikan
sesuatu masalah. Terdapat tujuh teknik yang diperkenalkan oleh beliau iaitu
PMI, AGO, APC, CAF, OPV, C&S, dan FIP.
PMI (Plus, Minus, Interesting) ialah
konsep perkara-perkara yang baik , buruk dan menarik. Ianya
bertujuan untuk meluaskan persepsi dan memaksa seseorang berhenti dan berfikir
sejenak sebelum membuat keputusan yang drastik . AGO (Aims, Goals,
Objectives) adalah matlamat, tujuan dan objektif . Konsep ini dapat
meluaskan sudut pandangan dan membantu dalam mengingatkan tujuan asal berfikir
serta dapat membantu seseorang berfikir secara terfokus.
Seterusnya ialah APC (Alternatives,
Possibilities, Choice). Ianya merupakan alternatif, kemungkinan dan pilihan
yang membolehkan seseorang melihat perkara yang sama dari pelbagai sudut
pandangan. Konsep ini juga membuatkan seseorang memikirkan beberapa
tindakan yang patut dibuat dan membolehkan seseorang mencari cara lain bagi
menyelesaikan masalah yang sama. Sementara itu, CAF (Consider All
Factors) adalah konsep yang mengambil kira semua faktor. Ianya
digunakan oleh seseorang untuk meluaskan sudut pandangan dan membantu seseorang
mengarahkan minda ke semua arah yang penting. Manakala, OPV (Other
People’s Views) adalah konsep pandangan orang lain iaitu membantu
seseorang untuk memahami sudut pandangan orang lain serta dapat membantu
seseorang dalam meluaskan lagi pandangannya.
Konsep yang lain ialah C&S (Consequence and
Sequel). C&S ialah kesan dan akibatnya yang dapat membantu seseorang
melihat jauh ke hadapan dan digunakan oleh seorang untuk membuat
penilaian. FIP (First Important Periorities) adalah
keutamaan-keutamaan yang perlu diutamakan atau didahulukan. Konsep ini mengingatkan
seseorang mengambil kira perkara-perkara yang penting serta dapat membantu
seseorang untuk berfikir secara terfokus.
Oleh itu, sebagai guru adalah perlu menerapkan konsep pemikiran lateral ini dalam P&P terutamanya dalam membuat keputusan untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Video dibawah ini menunjukkan contoh konsep pemikiran yang digunakan dalam bilik darjah. "DeBono Six Thinking Hats in the Classroom".
PEMIKIRAN KRITIS
Pemikiran kritis ialah suatu penerokaan yang bertujuan
untuk mengkaji situasi, fenomena, dan persoalan untuk menghasilkan rumusan yang
merangkumi semua maklumat yang ada. Ianya merupakan kemahiran intelektual untuk
menilai dan mempertimbangkan sesuatu situasi dan melibatkan kebolehan
menganalisis nilai sesuatu. Penerokaan yang berlaku bagi kalangan pemikiran
kritis sangat berkaitan dengan pengalaman yang dialami melalui bahan bacaan,
pemerhatian, mendengar, dan melihat atau menempuhinya sendiri. Sementara sumber
yang diperolehi ini akan diaplikasi pada pelbagai situasi yang sedang dihadapi.
Pemikiran kritis merupakan aspek yang penting dalam
menjana ilmu pengetahuan yang baru. Ianya melibatkan pemikiran secara
reflektif, produktif dan menilai bukti-bukti untuk memperoleh dapatan yang
logik dan tepat. Menurut pendapat John Dewey (1933), beliau mencadangkan idea
kepada murid untuk memikirkan secara reflektif. Murid diberi
galakkan untuk memberi jawapan dengan menerangkan secara tepat sementara guru
pula memberi galakkan kepada murid untuk bertanya dan bersoal jawab bagi
mendapatkan jawapan berdasarkan bukti terhadap maklumat yang disampaikan oleh
murid. Sementara itu, Winn (2004) pula berpendapat, cara untuk menggalakkan
murid memikirkan secara kritis adalah apabila guru
mengemukakan artikel-artikel yang memaparkan isu yang
boleh didebatkan dengan baik.
Menurut pendapat Nosch (2001) terdapat tiga kaedah
yang boleh digunakan dalam P&P di dalam bilik darjah. Antaranya
ialah kaedah bertanya soalan, cuba menjawab soalan dengan memikirkan tentang
jawapan, dan percaya penaakulan seseorang. Sementara, Santrock (2004) pula
menyatakan ada tujuh cara untuk mengukuhkan pemahaman murid tentang pemikiran
kritis. Antaranya ialah, bertanya bukan sahaja apa yang terjadi, tetapi juga
‘bagaimana’ dan ‘mengapa’, memeriksa fakta-fakta untuk mengenal pasti sama ada
wujud bukti untuk menyokongnya, berbincang dengan cara bersebab dan bukan
emosi, sedar bahawa kadangkala wujud lebih daripada satu jawapan atau
penerangan yang betul. Seterusnya ialah perlu membandingkan jawapan dan soalan
antara seorang murid dengan murid yang lain, memilih jawapan yang terbaik,
menilai dan bertanya apa yang disebut oleh orang lain daripada menerimanya
sebagai sesuatu yang benar secara tergesa-gesa, serta bertanya pelbagai soalan
dan cuba berspekulasi lebih lanjut tentang apa yang telah diketahui oleh murid
untuk mewujudkan idea-idea dan informasi yang baru.
Pemikiran kritis penting dalam dunia yang mencabar.
Murid harus belajar mengaplikasikan pemikiran kritis semasa berhujah tentang
apa jua topik perbincangan. Murid harus digalakkan untuk berusaha secara
intelektual untuk berfikir dengan cara kompleks. Sementara guru pula harus
merangsang keupayaan murid untuk memikirkan masalah dalam konteks pemikiran
kritis. Contohnya, dalam P&P berkaitan tanaman hirdoponik, murid yang
berfikiran kritis akan bertanya dengan guru bagaimana tanaman ini boleh
mendapatkan sumber makanan untuk pertumbuhan dan pembesarannya. Ini kerana jika
sebelum ini mereka mempunyai pengetahuan sedia ada bahawa tanaman sayuran hanya
ditanam menggunakan tanah tetapi dalam P&P ini guru mengunakan bekas
takungan air untuk menanam sayuran. Jadi, seorang guru yang berfikiran kritis
perlu memberi jawapan kepada murid supaya murid dapat membuat perbandingan
antara tanaman biasa dengan tanaman hidroponik.
Semua pihak perlu berusaha ke arah mencapat matlamat
untuk melatih murid menjadi pemikir yang baik. Terdapat pelbagai cara yang
boleh digunakan untuk menerapkan pemikiran kritis kepada murid-murid.
Antaranya ialah menggunakan strategi berpusatkan murid. Tujuannya
supaya murid dapat membuat penilaian yang bernas dan mencari penyelesaian
optimal. Seterusnya ialah menguruskan fakta secara sistematik dan tersusun,
menggunakan soalan-soalan yang sesuai dengan tahap kognitif murid supaya murid dapat
menilai semua fakta untuk tujuan menyelesaikan masalah.
Selain itu, guru perlu memberi soalan-soalan yang
lebih sukar kepada murid yang lebih bijak untuk menggalakkan tahap pemikiran
kritikal yang lebih tinggi, menggalak perbincangan dan aktiviti menyelesaikan
masalah dalam bilik darjah, dan memastikan murid-murid memahami penaakulan yang
digunakan, serta menggalakkan murid-murid membuat perbandingan isi jawapan yang
diberikan oleh rakan sebaya sama ada baik atau lemah. Disamping itu, guru-guru
juga perlu menggalakkan murid-murid untuk melihat perspektif yang berbeza-beza
dan memastikan murid-murid membuat pertalian yang signifikan serta
mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari di dalam dunia sebenar.
Kesimpulannya, guru-guru juga perlu mengunakan beberapa
strategi untuk meningkatkan pemikiran kritis di kalangan murid. Antaranya ialah
guru berperanan untuk membantu dalam mengkonstruk pemikiran muridnya sendiri.
Guru perlu menilai soalan-soalan murid dengan serius, mendapatkan pandangan,
penerangan, dan keinginan atau minat murid dengan tekun untuk membantu
menganalisis situasi-situasi pembelajaran yang mencabar. Guru juga harus
menganalisis strategi mengajar iaitu mengemukakan soalan-soalan berdasarkan
pemikiran dalam pembelajaran. Ianya dapat membantu murid memahami dengan lebih
mendalam topik yang dibincangkan. Seterusnya ialah guru juga perlu menyediakan
model peranan yang positif. Guru perlu menjemput tokoh-tokoh model yang boleh
berkongsi pengalaman sebenar mereka supaya murid dapat berinteraksi dengan
idea-idea sebagai maklumat primer dalam mengatur strategi pemikiran
pembelajaran yang efektif dan dan berkesan. Justeru itu, pemikiran kritis
melibatkan kebolehan menganalisi nilai sesuatu. Oleh itu, seseorang perlu
mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang luas tentang sesuatu perkara yang
tertentu. Bagi membuat sesuatu kritikan, seseorang itu perlu berfikir secara
teliti, mengumpulkan maklumat, membuat pengamatan yang tajam, berfikiran
terbuka, tidak bersikap berat sebelah, cekap menganalisis dan menyimpulkan
rumusan.
PEMIKIRAN KREATIF
Pemikiran kreatif didefinisikan sebagai operasi
berfikir yang dapat mengembangkan idea atau mencipta idea, hasil, metafora,
analogi dan definisi, ataupun mereka-cipta sesuatu yang baru. Ianya merupakan
satu jenis pemikiran di mana seseorang dapat memikirkan pelbagai idea baru yang
belum difikirkan oleh orang lain untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Seorang
guru perlu cekap dalam menjana pemikiran kreatif di kalangan murid-muridnya.
Contohnya, guru perlu memberikan peneguhan positif dalam bentuk ganjaran dan
hadiah apabila murid-murid dapat melahirkan idea-idea yang kreatif dan unik.
Pemikiran kreatif terbahagi kepada beberapa ciri.
Dalam pemikiran kreatif, keberanian adalah diperlukan untuk menjana idea yang
baru dan pelbagai tanpa dikongkong oleh idea-idea yang lama. Oleh
itu, seseorang yang berfikiran kreatif, akan berfikir secara terbuka, sanggup
menerima risiko, dan kritikan daripada orang lain dalam membuat keputusan
menyelesaikan sesuatu masalah. Kedua, pemikiran kreatif juga
mengandungi ciri imaginasi yang mencapah serta kemahiran sintesis untuk
mencantum idea-idea yang sedia ada bagi menghasilkan idea-idea yang baru.
Ketiga ialah mengandungi ciri perkembangan idea. Melalui pemikiran kreatif
pelbagai alternatif idea yang baru dapat disediakan dalam membuat penyelesaian
masalah. Seterusnya ialah pemikiran kreatif yang mengandungi ciri reka
cipta. Reka cipta yang dihasilkan adalah berasaskan kemahiran
sintesis untuk menghasilkan idea yang baru. Selain itu, pemikiran kreatif juga
menjadikan seseorang itu mampu mengandaikan sesuatu di luar jangkaan orang
lain, berfikiran secara autonomi, memiliki daya fokus yang tinggi dan
berterusan, pelbagai dan dinamik, holistik, dan kaya dengan idea baru.
Teknik yang boleh digunakan untuk merangsang
pemikiran kreatif ialah menggalakkan pemikiran kreatif secara individu dan
kumpulan. Guru perlu mewujudkan situasi yang membolehkan murid-murid menyatakan
idea-idea kreatif melalui teknik sumbangsaran. Teknik ini sesuai untuk mendapatkan
pandangan dan pendapat yang bernas tanpa mengkritik idea-idea daripada rakan
sebaya semasa perbincangan. Teknik sumbangsaran juga dapat membina semangat
berpasukan yang kuat di kalangan murid. Strategi kreatif yang baik dapat
dihasilkan melalui kewujudan idea-idea yang banyak disamping persekitaran yang
dapat membantu melahirkan keinginan secara semulajadi melalui aktiviti
berkumpulan dan latihan yang disediakan oleh guru. Contohnya ialah berpandukan
video sekumpulan semut yang saya perolehi melalui sumber internet, ingin
menyeberangi sungai dari dua bukit yang tinggi tetapi menghadapi masalah
apabila dahan pokok yang hendak digunakan untuk menyeberang jalan tersebut
telah patah. Oleh itu, ketua kumpulan semut ini berbincang secara sumbangsaran
untuk menyelesaikan masalah mereka itu. Kesimpulan yang boleh diambil daripada
petikan video ini ialah guru dan murid boleh menggunakan kaedah sumbangsaran
dan bekerjasama dalam mencari idea mengunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada
untuk menyelesaikan masalah,
PEMIKIRAN REFLEKTIF
Pemikiran reflektif adalah satu cara pemikiran untuk menyelesaikan
sesuatu masalah secara peringkat, kritis, kreatif, imbas kembali pengalaman
yang berkaitan dan penilaian terhadap kemungkinan penyelesaian atau refleksi.
Menurut pendapat Birchall (1992), pemikiran reflektif memerlukan
penggunaan pengalaman sedia ada untuk menimbangkan kemungkinan tindakan
alternatif yang boleh digunakan untuk mencapai objektif penyelesaian masalah
serta menetapkan keputusan bagi tindakan yang seterusnya. Sementara itu, Wilson
J & Wing Jan L (1993) pula, menyatakan pemikiran reflektif berhubung rapat
dengan aspek-aspek pemikiran yang lain iaitu pemikiran kritis dan kreatif yang
digunakan sebagai pendekatan penyelesaian masalah.
Komponen dan proses pemikiran reflektif yang boleh digunakan dalam
menyelesaikan sesuatu masalah ialah melalui beberapa peringkat. Antaranya ialah
peringkat membaca dan mentafsir maklumat dengan cara memahami masalah melalui
pemikiran kognitif. Seterusnya ialah proses menentu dan menyusun maklumat
dengan cara memproses dan menganalisis data dengan pemikiran secara kritis.
Kemudiannya ialah mencari hubungan masalah dengan cara mengingat kembali
perhubungan pengalaman-pengalaman yang sedia ada dengan penyelesaian masalah
melalui cadangan hipotesis. Semasa membuat cadangan hipotesis, pemikiran kritis
dan kreatif digunakan untuk mencari idea yang baru berpandukan pemikiran sedia
ada dan mencari pelbagai kemungkinan penyelesaian bagi masalah
tersebut. Kemungkinan-kemungkinan ini hendaklah dinilai menggunakan
pemikiran refleksi untuk membuat keputusan atau menetapkan sesuatu tindakan.
Cara-cara yang boleh digunakan untuk meningkatkan pemikiran reflektif
ialah memperkenalkan masalah secara terbuka. Guru boleh mengemukakan sesuatu
topik pengajaran di dalam bilik darjah untuk dikenalpasti punca sesuatu
masalah. Contohnya, isu berkenaan masalah jerebu, murid-murid boleh membuat
aktiviti sumbangsaran bagi membincangkan masalah ini. Peranan guru ialah
membimbing murid untuk berfikir secara kritis, menganalisis dan mantafsir data
berkaitan punca masalah jerebu dan cara-cara untuk mengatasi masalah
ini. Murid-murid boleh mengunakan pengalaman mereka dalam membentuk
hipotesis serta menghasilkan pelbagai kemungkinan penyelesaian yang wajar dalam
mengatasi masalah ini. Guru juga boleh mengunakan teknik penyoalan untuk
meningkatkan daya pemikiran reflektif murid berhubung sesuatu isu atau topik
yang dibincangkan.
Selain itu, terdapat lima strategi yang telah dibuat oleh Beyer (1987)
untuk meningkatkan pemikiran reflektif. Antaranya ialah penggunaan log
pembelajaran individu untuk merekod maklum balas pembelajaran murid dalam bilik
darjah, log “double entry” untuk merekod fakta pelajaran yang mengandungi
soalan-soalan murid dan refleksinya, serta log pembelajaran dialog yang
digunakan untuk membuat catatan refleksi di antara dua orang atau lebih. Log
ini berkaitan maklum balas pembelajaran antara guru dan murid.
Seterusnya ialah pemetaan konsep yang melibatkan penggunaan peta minda
dan pengurusan grafik. Murid-murid boleh menggunakan kaedah ini untuk membuat
catatan tentang sesuatu topik pembelajaran bagi memudahkannya untuk mengimbas
kembali topik pembelajaran lepas. Malah kaedah seperti peta minda ini juga
dapat membantu murid untuk mengingat sesuatu fakta dan menarik minat murid
melalui kreativiti yang dihasilkan. Selain itu, pembelajaran rundingan juga
dapat meningkatkan pemikiran reflektif murid. Ianya melibatkan aktiviti
pembelajaran yang memerlukan penggunaan refleksi kendiri dan pemikiran refleksi
dalam proses perbincangan, penilaian dan membuat
keputusan. Disamping itu, jurnal reflektif juga dapat meningkatkan
pemikiran murid melalui catatan tentang sesuatu peristiwa dan masalah yang
dihadapi. Guru boleh membuat refleksi, menilai serta menggunakan jurnal ini
untuk mengambil tindakan susulan bagi mengatasi sesuatu masalah pengajaran dan
pembelajaran.
Kesimpulannya, pemikiran reflektif ini boleh dilihat melalui video yang
diambil dari internet berkaitan bentuk asas reka bentuk. Berdasarkan video ini,
murid ini mengunakan konsep nyanyian boria bagi memudahkannya untuk mengingat
jenis dan ciri-ciri bentuk asas reka bentuk. Ini menunjukkan bahawa murid
mengunakan pengetahuan dan pengalaman sedia ada untuk mengaplikasi bentuk
pembelajaran yang dapat membantu dan memudahkannya lebih faham tentang bentuk
dua dan tiga dimensi dalam kemahiran hidup.
PENUTUP
Secara keseluruhanya, saya dapati bahawa jenis-jenis
pemikiran yang saya bincangkan ini saling berkaitan cuma kaedah dan cara
pengunaannya untuk menyelesaikan masalah adalah berbeza. Dalam pengajaran dan
pembelajaran, guru harus bijak dalam mengunakan cara pemikiran untuk
menghasilkan pengajaran yang berkesan. Guru-guru harus berfikir secara kritis
dan kreatif bagi mengembangkan bakat murid secara holistik ke tahap yang
maksima merangkumi semua aspek dan membina potensi individu. Selain itu,
persekitaran yang selesa dan kondusif juga akan membantu murid untuk menjana
idea kritis, dan kreatif. Malah penggunaan pemikiran dan amalan refleksi dalam
pengajaran dan pembelajaran dapat mempertingkatkan kemahiran seseorang
guru dalam menangani permasalahan murid dan penyelesaian sesuatu
masalah dalam bidang pendidikan.
propaganda-amorfati.blogspot.co.id/2012/02/berfikir-lateral.html#!
Tidak ada komentar:
Posting Komentar